CrossBridge 2026 simbol kerjasama UiTM & TDTU Vietnam

CrossBridge 2026 simbol kerjasama UiTM & TDTU Vietnam

Majlis penutup Program CrossBridge 2026 bersama Dr. Pham Thi Ha Thuong, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Ton Duc Thang University (TDTU), Vietnam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Program antarabangsa CrossBridge 2026: Connecting Young Diplomats of ASEAN yang dianjurkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban melalui Kelab International Voluntary and Diplomatic Association (DIPLOMAT) baru-baru ini mencatat kejayaan memberangsangkan dengan kehadiran istimewa Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, Koh Bee Ching.

Kehadiran Bee Ching menambah dimensi diplomatik yang signifikan kepada program dua hala tersebut, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia dalam memajukan pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta memperkukuh hubungan bilateral dan serantau dengan negara-negara jiran di ASEAN.

Program tersebut turut mendapat kerjasama strategik daripada Ton Duc Thang University (TDTU), sebuah universiti awam terkemuka di Vietnam yang diketuai Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr. Pham Thi Ha Thuong.

Seramai 15 pelajar serta tiga pensyarah daripada UiTM Cawangan Seremban, diketuai Dr. Muhammad Aiman Awalluddin daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi yang juga selaku Penasihat Kelab Diplomat , bersama pensyarah pengiring Dr. Mohd. Ramlan Mohd. Arshad daripada Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Dr. Raja Mayang Delima Mohd Beta daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan bergabung dengan 30 pelajar serta lima staf akademik TDTU bagi merealisasikan program berkenaan.

Sepanjang program, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti berimpak tinggi, antaranya syarahan perbandingan mengenai sistem pentadbiran dan kerja sosial di Malaysia dan Vietnam, kelas seni kaligrafi Vietnam, aktiviti kesukarelawanan bersama komuniti setempat, lawatan akademik serta sesi pertukaran budaya dan dialog dua hala.

Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja memupuk perkongsian ilmu dan pengalaman, malah turut membina jambatan toleransi, empati serta pemahaman lintas budaya dalam kalangan generasi muda ASEAN.

Menurut pelajar Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Seremban Emir Luqman Muhammad Sharil, yang juga bertindak sebagai Pengarah, Program CrossBridge 2026 membuktikan keupayaan pelajar

UiTM melaksanakan program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa. Ia merupakan langkah strategik universiti dalam memperkasakan pelajar dengan perspektif global serta membina jaringan antarabangsa yang kukuh.

Penasihat Kelab DIPLOMAT Dr. Muhammad Aiman Awalluddin, berkata, CrossBridge 2026 melangkaui sekadar mobiliti pelajar dan staf akademik.

“Ia menjadi wadah strategik bagi membentuk pemimpin masa depan yang berfikiran global, beridentiti ASEAN serta membantu pensyarah mengukuhkan rangkaian akademik serantau melalui syarahan lintas budaya,” ujarnya.

Sokongan padu daripada pihak TDTU telah memastikan kelancaran pelaksanaan program itu, sekali gus mengukuhkan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua institusi pengajian tinggi.
Kerjasama tersebut dijangka melahirkan lebih banyak inisiatif mobiliti pelajar, kerjasama penyelidikan serta pertukaran akademik pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, CrossBridge 2026 selaras dengan agenda nasional pengantarabangsaan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Program seumpama itu diharap menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk berani melangkah merentas sempadan, menghargai kepelbagaian serta menyumbang secara aktif kepada pembangunan ASEAN yang lebih kukuh, harmoni dan berdaya saing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN