KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum memutuskan calon baharu bagi mengisi jawatan ketua pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat semalam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung jawatan tersebut dalam masa terdekat.
“(Jawatan ketua pembangkang), kami tidak putuskan lagi. Kami akan keluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa yang terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di kediaman rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Semalam, Bersatu memecat Hamzah di tengah-tengah kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.
Lembaga disiplin parti memaklumkan tindakan itu dibuat selepas Hamzah didapati melanggar peruntukan perlembagaan parti, termasuk kewajipan mematuhi kod etika dan tata kelakuan.
Mengulas lanjut, Azmin berkata Hamzah serta 16 lagi pimpinan yang dipecat diberi ruang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari.
“Terpulang kepada mereka yang telah dijatuhkan hukuman untuk membuat rayuan. Dalam Bersatu ada kaedah untuk menguruskan krisis dan semua ahli tertakluk kepada perlembagaan parti,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat khas MPT hari ini turut membincangkan usaha memperkemaskan parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16
Beliau juga menafikan pemecatan Hamzah akan menjejaskan imej Bersatu.
“Kamo tidak melihat begitu. Ini proses pendewasaan parti. Selepas sembilan tahun dibina, pastinya ada pindaan dan perubahan yang perlu dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R. Sri Sanjeevan berkata, MPT Bersatu memberi mandat penuh kepada Muhyiddin untuk membuat keputusan berhubung calon ketua pembangkang baharu.
Beliau turut menafikan dakwaan Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr. Chong Fat Full, mengenai kemungkinan gelombang keluar ahli secara besar-besaran.
“Dakwaan dua pertiga atau satu pertiga ahli keluar tidak betul. Jika benar, sila tunjukkan nombor dan nama.
“Berkenaan dengan peletakan jawatan (Chong) belum ada apa-apa surat rasmi daripada beliau. Jadi hendak kata berita itu betul atau tidak, saya pun tidak pasti,” katanya. – UTUSAN











