KOTA BHARU: Program Cahaya Hati 3.0 anjuran One World Muslimah (OWM) yang berlangsung di Hotel Grand Riverview, di sini, baru-baru ini, mencatat sambutan luar jangka apabila tiket habis terjual sepenuhnya.
Pengerusi OWM, Noor Razlina Noor Mohamed, berkata, kejayaan penganjuran program bertemakan Takdirku Air Mata, Bangkitku Wanita Luar Biasa itu mencerminkan kehausan wanita, terutama di Pantai Timur, terhadap pengisian rohani yang berkualiti dan menyentuh jiwa.
Katanya, program yang turut menampilkan pendakwah terkenal Indonesia, Oki Setiana Dewi, yang kehadirannya disifatkan sebagai antara faktor utama tarikan peserta.
“Kehadiran Oki Setiana Dewi yang sudah lama dinantikan masyarakat setempat menjadikan program berkenaan lebih dekat di hati para peserta.
“Kehadiran peserta yang cukup menggalakan membuktikan keperluan tinggi masyarakat terhadap program pengisian rohani khususnya dalam kalangan wanita Muslimah.
“Kejayaan ini juga memperkukuh kerjasama strategik yang telah lama terjalin antara OWM dan pendakwah itu,” katanya
Menurutnya lagi, pemilihan Kota Bharu sebagai lokasi pembuka tirai penganjuran OWM bagi t2026 turut membawa makna simbolik dalam usaha memperkasakan wanita bermula dari bumi Serambi Mekah.
Mengulas hala tuju program, Noor Razlina memaklumkan siri Cahaya Hati dirancang untuk menjelajah ke negeri-negeri lain di seluruh negara secara berperingkat.
“Dari segi pemilihan penceramah, OWM sangat menitikberatkan aspek kelayakan, tauliah serta kesesuaian mesej dengan sasaran peserta.
“Kami juga mengekalkan keseimbangan dengan menampilkan penceramah dari Malaysia dan Indonesia agar pengisian lebih segar, menyeluruh dan relevan,” ujarnya.
Cahaya Hati 3.0 turut diserikan dengan kehadiran personaliti agama, Sharifah Khasif Syed Badiuzzaman serta Tokoh Maulidur Rasul 2025, selain bacaan doa oleh tokoh Al-Quran terkenal serta pengisian inspirasi oleh Nazirah Abu Bakar.
Program itu turut mendapat sokongan Nasrom Premium selaku penaja utama selain pembabitan beberapa rakan strategik industri.
Selain itu, Cahaya Hati 3.0 juga membuka ruang kepada usahawan wanita mempamer dan memasarkan produk melalui penyertaan reruai jualan yang disediakan pada program itu.










