Cadangan pilihan raya Datuk Bandar KL belum dibincang Kabinet 

Cadangan pilihan raya Datuk Bandar KL belum dibincang Kabinet 

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan cadangan untuk mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) belum pernah dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, buat masa ini, tiada keperluan dan syor untuk membawa dan membincangkan cadangan serta kajian itu ke peringkat Kabinet.

“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana apa yang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sebut sebelum ini adalah satu kajian yang disediakan oleh pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Kajian itu pun belum dibawa ke Kabinet dan Kabinet belum membincangkannya. Jadi belum ada apa-apa lagi, ia masih di peringkat pramatang,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Magna AI dan Zchwantech di sini, hari ini.

Fahmi mengulas perkara itu sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mahu kajian dan cadangan pilihan raya datuk bandar itu dibentang dan dibahas di Parlimen.

Fahmi menjelaskan, beliau menerima cadangan itu, namun ia boleh juga dibangkitkan terlebih dahulu pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT)  minggu hadapan.

Hannah sebelum ini memaklumkan kementerian sedang mengkaji kemungkinan mengadakan pilihan raya datuk bandar sebagai antara kaedah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan DBKL.

Takiyuddin sebelum ini mempersoalkan keperluan menukar sistem pelantikan Datuk Bandar sedia ada kerana proses itu sebenarnya telah berjalan lancar di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 selama lebih 60 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN