PETALING JAYA: Pelakon Sherry Ibrahim berpendapat tidak semua perkara perlu dipertontonkan kepada umum menerusi sebuah ‘content’ di media sosial.
Menurut Sherry, tindakan sedemikian berpotensi untuk meninggalkan impak yang negatif dalam kehidupan sesetengah individu pada masa akan datang.
“Bukan semua perkara perlu dijadikan content. Saya harap saya akan kekal begini. Takut nanti makan diri,” katanya di Threads.
Tambah Sherry, dia berasa lebih selesa dan selamat jika kisah peribadinya tersimpan rapi tanpa diuar-uarkan kepada umum.
“Saya lebih suka kehidupan peribadi saya seperti ‘biarlah rahsia’,” ujarnya.
Meskipun kenyataan tersebut dikongsikan secara spontan, namun perkongsian itu dihujani pelbagai kecaman netizen di ruangan komen.
Rata-rata netizen berpendapat perkongsian tersebut dimuat naik bertujuan untuk menyindir pihak tertentu selain mendakwa pelakon itu sekadar mahu meraih perhatian orang ramai.









