Bukan mahu kata orang pakai jubah itu tidak baik - Daiyan Trisha - Utusan Malaysia

Bukan mahu kata orang pakai jubah itu tidak baik – Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha menegaskan bahawa drama terbaharu lakonannya, Di Sebalik Jubah sama sekali tidak berniat menghina atau memperlekehkan mana-mana individu yang berpakaian jubah atau berimej agama, sebaliknya bertujuan mendedahkan isu penyelewengan agama demi kepentingan peribadi.

Menurut Daiyan, karya tersebut mengangkat realiti kewujudan individu bergelar penunggang agama yang menggunakan kepercayaan masyarakat terhadap simbol dan imej keagamaan untuk mengaut keuntungan, khususnya melalui kutipan derma yang disalahgunakan.

“Cerita ini sangat menarik kerana ia menyentuh tentang bagaimana agama disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan wang. Premis ini diambil kerana perkara tersebut memang berlaku dalam realiti,” katanya.

Jelas Daiyan, pihak produksi telah melakukan kajian terperinci berdasarkan kisah-kisah sebenar bagi memastikan penceritaan yang dipaparkan bersandarkan fakta dan tidak bersifat rekaan semata-mata.

“Banyak kajian dilakukan kerana kami mahu menggambarkan bagaimana proses kejadian ini berlaku dalam dunia sebenar. Tujuan utama kami adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati, bukan untuk menghukum atau menuduh secara melulu,” ujarnya.

Tambah beliau, pemakaian jubah atau penampilan berimej agama tidak seharusnya dijadikan penentu mutlak kepada kejujuran seseorang, terutamanya apabila melibatkan sumbangan kewangan orang ramai.

“Bukan nak kata orang pakai jubah itu tidak baik, tetapi penampilan boleh mengelirukan jika seseorang itu mempunyai niat jahat. Itulah mesej yang kami cuba sampaikan,” katanya.

Drama tersebut turut menekankan kepentingan membuat semakan dan kajian sebelum menyalurkan derma, bagi memastikan sumbangan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Kami paparkan bagaimana derma boleh menjadi tular, tetapi akhirnya wang tersebut tidak disalurkan ke tempat sepatutnya. Lebih menyedihkan apabila penderma ikhlas akhirnya ditipu, sedangkan wang itu digunakan untuk kepentingan peribadi seperti membeli kereta baharu,” jelasnya.

Sehubungan itu, Daiyan turut menggalakkan masyarakat agar lebih berwaspada dan bertanggungjawab dalam amalan bersedekah dengan memastikan saluran derma yang dipilih mempunyai dokumentasi serta ketelusan kewangan.

“Saya sendiri, kalau nak menderma, akan buat kajian dahulu, pastikan saluran itu sah dan ada dokumen yang jelas menunjukkan ke mana wang akan disalurkan. Sebenarnya banyak NGO yang sangat telus dan menjalankan amanah dengan baik,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN