Budak tiga tahun maut dalam nahas libatkan kereta peronda polis - Utusan Malaysia

Budak tiga tahun maut dalam nahas libatkan kereta peronda polis

KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut dekat Puncak Jelapang di Ipoh. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas kereta dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan peronda polis (MPV) di Jalan Ipoh-Lumut dekat Puncak Jelapang, di sini hari ini.

Nahas pada pukul 3.35 petang itu mengakibatkan Chong Zee Han cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4.32 petang ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Kelisa dinaiki dua beranak itu dan sebuah MPV model Honda Civic 1.5L milik pasukan yang dinaiki dua anggota.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika MPV yang dipandu anggota lelaki berpangkat konstabel itu dalam perjalanan dari arah Lumut menghala ke Jelapang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta Perodua Kelisa yang berada di laluan bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan MPV tersebut hingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan keempat-empat mangsa termasuk kanak-kanak itu cedera dan dihantar ke HRPB untuk rawatan. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Abang Zainal, dalam kejadian itu, pemandu MPV berusia 48 tahun cedera di kedua-dua kaki manakala seorang lagi anggota berusia 42 tahun patah di bahu kiri dan luka di kelopak mata kanan.

“Dalam kejadian itu, ibu mangsa berusia 34 tahun luka di bahagian muka. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN