BESUT: Pemuda orang kurang upaya (OKU) yang pernah dikenali sebagai ‘Budak Ajaib’ kerana kemampuannya menemukan barangan hilang di dasar sungai atau laut, kelihatan banyak tersenyum beberapa hari sebelum meninggal dunia.
Mohamad Najmi Daud, 37, atau lebih dikenali dengan panggilan Awie menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu semalam akibat serangan strok di rumahnya di Kampung Tengah, di sini.
Ibunya, Noriah Ali, 59, berkata, anak keduanya itu yang berstatus OKU penglihatan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.55 pagi akibat pendarahan di kepala serta ketumbuhan di otak.
“Kebelakangan ini dia tidak banyak cakap tetapi hanya banyak tersenyum apabila ditanya dan kelihatan letih.
“Awie sudah tidak sakit lagi dan segala urusannya di dunia sudah selesai. Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut selepas solat zohor,” katanya semalam.
Pada 30 Januari lalu, Utusan Malaysia menyiarkan kisah hidup Mohamad Najmi kini berubah akibat serangan strok pada awal Disember tahun lalu dan kejadian itu berulang pada 5 Januari lalu.
Keadaan itu mengakibatkannya tidak boleh melakukan kerja-kerja harian dan mencari rezeki dengan membantu menaikkan ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut atau mencari barangan terpakai.
Dia sebelum ini dikenali selepas berjaya menemukan mayat mangsa lemas dalam tempoh 10 minit pada Oktober 2020 walaupun keadaan air laju dan keruh.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Tengah, Roslan Mhd. Nor berkata, Allahyarham Mohamad Najmi adalah seorang yang disenangi ramai dengan sikap ringan tulangnya.
Katanya, Allahyarham sebelum ini sering membantu ramai orang termasuk pelancong mencari barang berharga yang sering terjatuh dalam sungai seperti telefon bimbit, barang kemas dan kunci kereta di jeti pelancong Kuala Besut.-UTUSAN










