Bubur lambuk Kompas bertahan lebih 24 tahun

Bubur lambuk Kompas bertahan lebih 24 tahun

BUBUR lambuk Kompas disediakan di Kompleks Pas Perlis sejak 24 tahun lalu cukup popular dan sentiasa menjadi tumpuan setiap kali Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jika di ibu kota, orang ramai sentiasa ternanti-nanti bubur lambuk Kampung Baru yang cukup sinonim setiap kali Ramadan.

Bagi penduduk negeri ini khususnya di sekitar kawasan Kangar, bubur lambuk Kompas yang disediakan di Kompleks Pas Perlis sejak 24 tahun lalu cukup popular dan sentiasa menjadi tumpuan setiap kali bulan puasa.

Menjelang Ramadan tidak sampai dua minggu lagi, kakitangan Kompas diketuai Yang Dipertua Pas Kawasan Arau, Solahhudin Azmi, 50, juga selaku pengarah edaran bubur lambuk tersebut kini mula sibuk melakukan persediaan bagi menyediakan juadah ber­kenaan.

Solahhudin berkata, sepanjang Ramadan, sebanyak 30 kilogram beras atau dua periuk bubur lambuk disediakan untuk diagih secara percuma kepada orang ramai.

Katanya, kelaziman, proses menyediakan bubur lambuk hasil resipi turun temurun Allahyarham Abd. Karim Mat Rejab itu bermula dari pukul 8.30 pagi dan mula diagihkan pada pukul 3 petang iaitu dari 1 sehingga 27 Ramadan.

“Sebanyak 700 bungkus bu­bur lambuk dihasilkan se­tiap hari sepanjang bulan Ramadan. Penyediaan dan pengagihan bubur lambuk itu telah menjadi tradisi sejak lebih 20 tahun lalu.

“Saya memasak bubur lambuk ini mengikut resepi guru saya iaitu Allahyarham Abdul Karim, cuma ia diubahsuai mengikut resepi bubur lambuk Kampung Baru dengan sedikit penambahbaikan bagi memenuhi citarasa penduduk di Perlis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Solahhudin berkata, gotong-royong penyediaan bubur lambuk berkenaan juga dibantu oleh penduduk setempat.

“Sambutan terhadap bubur lambuk itu setiap kali Ramadan amat menggalakkan dengan orang ramai mula beratur seawal pukul 2.00 petang sebelum ia diagihkan.

“Bubur lambuk Kompas ini sememangnya sudah sinonim dengan rakyat Perlis khusus­nya pada bulan Ramadan. Insya-Allah program setiap kali Ramadan itu akan sentiasa diteruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN