SEREMBAN: Dua lelaki termasuk seorang polis bantuan didenda RM600 serta diperintahkan menjalani perintah khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam pada bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, Mohd. Hashim Mohd. Nor, 37, dan Herrykurniawan, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Muhamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Hashim didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di siar kaki hadapan Terminal Bas Nilai di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 4 Januari lalu.
Sementara itu, Herrykurniawan didakwa membuang sisa pepejal sama di tepi longkang hadapan sebuah klinik swasta di Jalan BBN 1/7 D Putra Indah, kira-kira pukul 1.01 pagi pada 1 Januari lalu.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di tempat awam atau jalan awam serta bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi pembuangan sisa pepejal.
Berikutan itu, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Siti Adora Rahtimin.
Mohd. Hashim yang bekerja sebagai polis bantuan memohon denda diringankan dengan alasan berpendapatan RM2,500 sebulan serta menanggung lima orang tanggungan manakala Herrykurniawan turut memohon hukuman diringankan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai dua orang tanggungan.
Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM600 atau penjara 14 hari jika gagal membayar denda selain perlu menjalani khidmat masyarakat selama enam jam dalam tempoh enam bulan.-UTUSAN










