Setiap kali musim graduasi tiba di institusi pengajian tinggi (IPT), kita akan melihat ribuan graduan berbaris dengan jubah dan senyuman, namun dalam hati ramai yang masih resah.
Ada yang cemerlang akademik tetapi tiada tujuan yang pasti. Ada yang cepat dapat kerja, tetapi tak lama kemudian rasa kosong dan hilang arah. Dalam dunia yang bergerak pantas, soalan paling besar bukan lagi “apa keputusan CGPA”, sebaliknya “siapa kita sedang bentuk dan untuk apa kita belajar”.
Di sinilah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang telah diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar menjadi rujukan.
Seiring amanat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menekankan pelaksanaan berkesan dan tidak terputus daripada realiti, RPTM 2026-2035 digarap sebagai kerangka besar memacu pendidikan tinggi negara untuk sedekad mendatang.
Terasnya jelas, melahirkan pembina negara yang berpaksikan kemanusiaan dan dipacu matlamat. Ertinya, universiti bukan sekadar kilang kelulusan, tetapi medan membina insan yang berfikir, berempati, beretika dan mampu menyumbang kepada masyarakat dengan tujuan yang jelas.
RPTM 2026-2035 juga menonjolkan pendekatan kolaboratif yang melibatkan pelbagai pihak. Ini mesej yang wajar kita ambil serius kerana pendidikan tinggi tidak lagi boleh berfungsi dalam ruang sendiri.
Dunia kerja berubah, teknologi berkembang, keperluan komuniti beralih, dan cabaran negara semakin kompleks. Jika universiti bergerak sendirian, kita akan menghasilkan graduan yang “pandai di kertas” tetapi terputus daripada realiti.
Kerjasama yang dimaksudkan bukan sekadar memorandum persefahaman (MoU), tetapi kerjasama yang hidup, seperti penyelarasan kurikulum dengan industri, penyelidikan yang menjawab masalah sebenar masyarakat, latihan kerja yang bermakna, dan sokongan komuniti yang menjadikan kampus sebahagian daripada nadi negara.
Satu lagi kekuatan RPTM 2026-2035 adalah sifatnya sebagai dokumen yang hidup. Dalam bahasa mudah, ia tidak sepatutnya kaku atau menjadi fail yang cantik di rak. Dokumen yang hidup menuntut budaya semak dan tambah baik daripada segi pelaksanaannya.
Pada tahap ini, amanat kepimpinan pendidikan tinggi sepatutnya mendorong kita kepada satu disiplin baharu, iaitu mengukur hasil sebenar, bukan sekadar mengumpul aktiviti. Berapa ramai graduan yang benar-benar berdaya tahan, bukan sekadar “lulus”. – UTUSAN
Mohamad Amirul Mohd. Adnan Ali
Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).










