
KUALA LUMPUR: Kemelut dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuktikan parti itu kini semakin hilang arah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Dengan kekuatan mereka yang sebelum ini menang 31 kerusi dalam PRU15 dan kemudian berkurangan apabila enam ahli Parlimennya keluar parti dan menyokong kerajaan sehingga pemecatan beberapa lagi ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin memperlihatkan keadaan Bersatu yang semakin terumbang-ambing.
Jumlah ketua bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Hamzah juga dikatakan sudah melebihi dua pertiga, sekali gus mengatasi sokongan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sokongan kuat daripada barisan kepemimpinan Pas juga dilaporkan memihak kepada Hamzah.
Jika keadaan ini berterusan, Bersatu ibarat ‘telur di hujung tanduk’ dan laluan parti itu kelihatan sukar bukan sahaja untuk menghadapi PRU16, tetapi juga dalam mengekalkan pengaruh politiknya.
Bersatu justeru kini tidak lagi boleh berlagak dominan dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk dalam melibatkan jawatan ketua pembangkang dan pengerusi gabungan itu.
Dalam erti kata lain mandat untuk membuat keputusan calon ketua pembangkang bukan lagi tertakluk di bawah Muhyiddin sepenuhnya.
Kepincangan yang berlaku ini juga pasti membuatkan Pas tidak lagi bermurah hati sebagai mana sebelum ini.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, masa depan Bersatu kini banyak bergantung kepada tindak-tanduk dan langkah yang akan diambil oleh Muhyiddin.
Katanya, sudah tiba masanya Bersatu memperkukuh jentera dan menyusun semula gerak kerja parti serta memulihkan keyakinan penyokong.
Begitu juga dengan tindak-tanduk Bersatu yang tidak boleh dilihat cuba memperkotak-katikkan ‘kawan’ dalam PN.
Walau apa pun, rakyat kini masih menanti kesudahan di sebalik kemelut dalam Bersatu yang secara tidak langsung turut memberi implikasi kepada PN.
Percayalah hubungan antara Bersatu-Pas tidak akan sama sebagaimana sebelumnya dan ia lebih jelas dengan kemelut yang berlaku kini. – UTUSAN










