KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin mengubah gaya hidup dan cara pemakanan dengan sepenuhnya selepas melakukan pembedahan bariatrik.
Kata Nora, perubahan tersebut antara perkara yang dinasihatkan doktor supaya pembedahan yang dilakukan memberi kesan menyeluruh dan berpanjangan.
“Walaupun buat pembedahan bariatrik, senaman tetap perlu dilakukan. Ia adalah perkara wajib.
“Pada masa sama saya juga sudah tidak mengambil gula dan kurangkan kuantiti makanan serta juadah berkalori tinggi.
“Ingat, bariatrik adalah pilihan masing-masing dan ia bukan jalan pintas. Bukan sahaja untuk cantik tetapi juga sihat,” kongsinya di TikTok.
Nora sekitar Januari lepas menjalani pembedahan tersebut untuk meningkatkan kesihatan dan bukan sekadar untuk kelihatan cantik.
Dalam masa yang sama, Nora menegaskan beliau tidak berniat mempromosikan pembedahan bariatrik, sebaliknya hanya ingin berkongsi mengenai kebaikan prosedur itu.
“Perkongsian saya ini sekadar atas dasar kesihatan. Orang yang berbadan besar akan berdepan banyak kesukaran. Susah bersenam dan beribadah.
“Selepas melakukan bariatrik, badan kita akan menjadi langsing dan kecil, lebih cergas serta memudahkan kita untuk bersenam.
“Cara pemakanan kita juga berubah, kadar dikurangkan dan pengambilan gula pun diturunkan.
“Banyak perkara yang berubah membuatkan kita jadi lebih sihat,” kongsinya lagi. – UTUSAN










