PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta seperti yang ditetapkan di bawah peraturan perkhidmatan awam.
Ini menafikan dakwaan mengenai pegangan saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, laporan itu mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Katanya, ia menjejaskan imej dan reputasi pegawai terlibat serta keyakinan masyarakat terhadap SPRM.
“Pengisytiharan harta oleh penjawat awam adalah tertakluk kepada tadbir urus dan prosedur pentadbiran yang telah ditetapkan serta dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset, termasuk pegangan saham,” katanya.
SPRM berkata, gambaran dibuat seolah-olah terdapat kegagalan membuat pengisytiharan harta adalah tidak benar daripada segi fakta.
“Ia memberi tanggapan mengelirukan terhadap kerangka integriti serta tatakelola yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam.
“Persepsi sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah boleh mewujudkan pandangan negatif terhadap SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN










