AUKU perlu selari perkembangan semasa

AUKU perlu selari perkembangan semasa

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 akan terus diteliti selari perkembangan semasa dan tuntutan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau tidak mempunyai masalah terhadap tuntutan pelajar kerana ruang kebebasan telah pun diperluaskan menerusi beberapa pindaan akta sebelum ini.

“Saya tidak ada masalah dari segi tuntutan pelajar kerana kita memberi kebebasan kepada pelajar dan apa yang kita lihat kebebasan pelajar itu sebenarnya adalah merupakan manifestasi daripada AUKU yang telah pun kita pindah berkali-kali dengan yang terbaru pada Jun 2024.

“Pindaan-pindaan yang dibuat pula kita kena lihat sepanjang masa, ia mesti bersifat dinamik, ia tidak boleh kekal sebagai sesuatu yang statik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Akademia Penyelidikan MTUN Bersama Industri 2026 di sini hari ini.

Terdahulu, program tersebut menyaksikan pertukaran 27 dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA0 antara MTUN dengan pihak industri, serta penyerahan cek cura sumbangan endowmen daripada industri kepada MTUN.

Zambry berkata, kerajaan juga sentiasa mengadakan perbincangan secara terbuka dengan pelbagai pihak dalam ekosistem universiti bagi mendapatkan pandangan menyeluruh.

“Apapun kerajaan sentiasa mengadakan perbincangan bukan hanya dalam kumpulan itu tetapi juga dengan kumpulan mahasiswa lain kerana kita ingin mendengar pandangan, termasuk juga daripada kalangan pesara-pesara dalam ekosistem universiti yang paling besar,” katanya.

Zambry berkata, pihaknya tidak bersikap negatif terhadap sebarang pandangan, sebaliknya mengutamakan pendekatan dialog beradab.

“Saya kira tidak, saya tidak ada sikap negatif terhadap apa yang mereka, cuma yang seringkali saya sebutkan bahawa apapun dalam bentuk perbincangan kita sentiasa terbuka dan kita mengadakan perbincangan dalam suasana yang penuh adab,” jelasnya.

Sebelum ini, sekumpulan pelajar menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli di Parlimen bagi menggesa pemansuhan AUKU termasuk berkaitan peruntukan kuasa kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk melantik Naib Canselor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN