KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi, Hafiz Suip, untuk membina kehidupan baharu bersama isterinya, Fiona Safiyya, semakin bulat apabila arwah ibunya, Allahyarham Halizawati Salleh, sempat memberi restu terhadap hubungan mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir pada November tahun lalu.
Menurut Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 36, ketika hayat ibunya, Allahyarham pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia dan Fiona melangkah ke jenjang pelamin.
“Sebenarnya perkahwinan ini juga atas restu arwah ibu. Seperti yang pernah saya katakan, ibu adalah keutamaan saya.
“Sejak awal perkenalan lagi, perkara pertama yang saya lakukan adalah membawa Fiona bertemu ibu.
“Waktu itu ibu berpesan, ‘kau ni tengah dalam proses cerai, jadi kena buat betul-betul’. Maksudnya, ibu mahu saya lakukan dengan cara yang betul iaitu bernikah.
“Sebab itu saya beritahu Fiona, kita kena tunaikan permintaan ibu,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Yang Engkau Mahukan, di sini, semalam.
Tambah Hafiz, mereka pada awalnya merancang untuk memilih tarikh 15 Februari, bersempena hari lahir arwah ibunya, namun atas nasihat bapanya agar tidak melewat-lewatkan pernikahan, pasangan itu memilih 13 Februari sebagai tarikh bersejarah.
Mengimbas detik perkenalan, Hafiz mengakui tertarik dengan nyanyian Fiona yang menyampaikan lagu Ku Akui ketika mereka berada di sebuah kedai makan.
“Perkenalan kami bermula pada 2024 ketika konsert saya di Kuching, Sarawak. Ketika itu saya mencari penyanyi untuk menggantikan Adira.
“Saya singgah di sebuah kedai makan dan terdengar seorang wanita menyanyikan lagu Ku Akui. Suaranya sangat sedap. Saya dimaklumkan dia juga seorang penyanyi.
“Saya terus mencari namanya di internet dan memang benar dia penyanyi. Saya kemudian mengajaknya menjadi penyanyi undangan konsert saya. Dari situlah kami mula berkenalan dan berkawan,” katanya.
Sementara itu, Fiona yang juga ibu tunggal mengakui bukan mudah untuk memulakan kehidupan berumah tangga sekali lagi, apatah lagi sudah mempunyai cahaya mata.
“Sudah tentu bukan sesuatu yang mudah untuk membina rumah tangga semula, terutama apabila saya sudah mempunyai anak.
“Namun, ini semua takdir Tuhan. Alhamdulillah, apabila bertemu Hafiz, kami sebenarnya melalui pengalaman yang hampir sama iaitu perceraian, cuma jalan ceritanya berbeza.
“Setiap daripada kami ada pengalaman yang boleh dijadikan pengajaran. Apa yang sudah berlalu, biarlah berlalu. Kami mahu membina kehidupan baharu bersama,” katanya.
Terdahulu, Hafiz dan Fiona selamat diijabkabulkan dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah dewan di Petrajaya, Kuching.
Sebelum ini, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Nureffy Jasreel pada 2016 sebelum sah bercerai pada Mei tahun lalu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Riyadh Zafri, 9, dan Muhammad Alkaf Zayne, 6.
Fiona yang berbangsa Bidayuh pula pernah berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Cina dan dikurniakan tiga cahaya mata. Mereka dilaporkan berpisah kira-kira lima tahun lalu. -UTUSAN










