KUALA LUMPUR: Pelakon Raja Azrey memaklumkan dia sempat melawat Allahyarham Along Eyzendi, sebelum pelawak dan pelakon itu disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang malam tadi.
Menurut Azrey, lawatan tersebut dibuat bersama beberapa rakan artis pada petang semalam.
“Petang tadi dari pukul 1 hingga 6 petang saya bersama rakan-rakan artis memang ada melawat arwah di Hospital Serdang. Saya sempat ucapkan kata-kata untuk arwah dan saya lihat arwah menitiskan air mata,” katanya.
Azrey berkata mereka pernah terlibat dalam sebuah projek teater bersama pada Disember lalu di Melaka, sebelum Allahyarham dimasukkan ke hospital.
“Sebelum arwah jatuh sakit, saya memang ada projek teater Hantu dengan arwah pada bulan Disember di Melaka.
“Menjelang persembahan, arwah sudah menunjukkan tanda-tanda sakit dan pernah dimasukkan ke hospital, tetapi arwah sorokkan masalah kesihatan kerana tidak mahu menyusahkan kawan-kawan,” jelasnya.
Tambah Azrey, punca penyakit Allahyarham adalah berkaitan masalah hempedu.
“Arwah sakit hempedu. Selepas habis persembahan, arwah terus ke hospital dan doktor memberikan antibiotik untuk membantu rawatan,” katanya lagi.
Azrey turut memaklumkan bahawa Allahyarham pernah berhasrat untuk membuat tuntutan PERKESO bagi meneruskan rawatan.
Pelawak dan pelakon, Along Eyzendi, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang dan dijangka dikebumikan di Pasir Gudang, Johor.










