PETALING JAYA: “Setiap kali berbuka puasa, bila tengok hidangan atas meja, hati mesti teringat pada mereka yang mungkin tidak dapat rasa benda yang sama.”
Demikian luahan pelakon, Anzalna Nasir yang tersentuh mengenang nasib golongan kurang berkemampuan yang tidak berpeluang menikmati hidangan yang lengkap ketika berbuka puasa.
Menurut Anzalna, perkara itu secara tidak langsung membuatkan dirinya terdetik untuk menghulurkan bantuan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan di sekitar Kuala Lumpur.
“Kalau ada yang kenal keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan, boleh DM Anzalna atau maklumkan ya.
“Mohon maaf, kali ini sekitar kawasan KL sahaja sebab Anzalna sendiri nak turun padang dan sampaikan sendiri bantuan tersebut,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, pelakon drama Memori Cinta Suraya itu berharap dengan bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membuatkan golongan tersebut mengharungi Ramadan ini dengan sempurna dan gembira.
“Semoga sedikit usaha ini dapat ringankan beban mereka dan bagi rasa juadah yang sedap-sedap waktu berbuka,” ujarnya.- UTUSAN










