PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan cuti panjang sempena Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam dengan meninjau operasi Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Anwar berkata, kesempatan itu digunakan untuk menyantuni para penumpang serta mendengar secara langsung pandangan dan maklum balas mereka mengenai perkhidmatan disediakan.
“Alhamdulillah, respons yang diterima amat memberangsangkan khususnya berkaitan tahap keselesaan serta pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan tersusun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan untuk memperkukuh perkhidmatan awam yang selamat, cekap dan mesra rakyat. – UTUSAN










