JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tidak perlu terus mendesak berkaitan pembahagian kerusi bersama Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaliknya menunggu rundingan di peringkat Pusat.
Pengerusi BN Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu hanya akan dibuat kepimpinan tertinggi kedua-dua pihak iaitu BN dan Pakatan Harapan (PH).
“Yang mereka tergesa-gesa ni pasal apa. Ini bukan kali pertama (Pengerusi Amanah Johor) Aminolhuda Hassan bercakap pasal kerjasama dan pembahagian kerusi.
“Saya nasihatkan supaya bertenang dan tunggu keputusan rundingan peringkat atas, itu sahaja. Belum lagi ditentukan UMNO dan BN peringkat pusat, saya rasa belum lagi bincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling di Kompleks Tan Sri Mohamed, di sini semalam.
Sebelum ini, Aminolhuda dilaporkan berkata konsep free for all mungkin penyelesaian terbaik berhubung kebuntuan mewujudkan kerjasama antara PH dan BN di negeri ini menjelang PRN yang dijangka diadakan tahun ini.
Pada masa sama, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai turut memberitahu pihaknya hairan mengapa kenyataan sedemikian dikeluarkan pemimpin negeri dan bukan kepimpinan tertinggi parti di peringkat Pusat.
“Desakan ini hanya dibuat setelah Amanah Johor gagal mendapat sokongan pengundi Melayu dan bergantung penuh dengan undi bukan Melayu.
“Perkara ini diakui sendiri Ketua Pemuda Amanah, Mohd. Hasbie Muda yang mengatakan hanya lima peratus pengundi Melayu menyokong parti itu, saya sendiri rasa jumlahnya lebih kurang lagi,” ujarnya.-UTUSAN










