Aku faham ke mana arah akhirnya – Perkongsian Elyana undang sayu - Utusan Malaysia

Aku faham ke mana arah akhirnya – Perkongsian Elyana undang sayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkongsian terbaharu penyanyi, Elyana, menyentuh hati ramai apabila memuat naik sekeping foto dirinya duduk bersila di atas katil hospital sambil merenung ke bawah.

Hantaran yang dimuat naik Elyana atau Erneelya Elyana Emrizal, 38, memberi bayangan bahawa dia kini kembali aktif meneruskan rawatan kanser limfoma yang dihidapinya.

Lebih meruntun jiwa, pelakon drama bersiri Dunia Baru itu turut menitipkan kata-kata yang menggambarkan perasaannya saat berdepan ujian kesihatan.

“Sebenarnya aku sudah faham arah akhirnya ke mana, tapi aku masih ingin tinggal sedikit lebih lama, menikmati sisa cerita sebelum semuanya benar-benar jadi kenangan,” kongsinya.

Terdahulu, Elyana mendedahkan dia kembali menjalani sesi kemoterapi selepas sel kanser dikesan aktif semula. Biarpun bukan mudah untuk dilalui, ibu kepada dua cahaya mata itu menyifatkan rawatan berkenaan sebagai fasa baharu dalam perjalanan hidupnya.

Sekitar dua tahun lalu, industri hiburan tanah air pernah dikejutkan dengan berita gembira apabila penyanyi lagu Tak Tercapai Akalmu itu mengumumkan dirinya bebas daripada kanser limfoma selepas 11 tahun berjuang.

Pengumuman tersebut dibuat selepas Elyana menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi dan radioterapi sejak disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2011.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakan artis serta peminat menitipkan doa dan kata-kata semangat agar Elyana terus tabah serta dikurniakan kesembuhan sepenuhnya.

“Selamat menuju kesembuhan, tiada yang mustahil,” tulis ratu rock negara, Ella.

“Allah sayang awak, sayang. Awak wanita baik,” coret penerbit, Ayu Puteh.

“Semoga Allah beri kesembuhan, Amin,” tulis anggota kumpulan Elite, Azza. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN