KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperkenal kaedah agihan bantuan zakat Ramadan tanpa tunai tahun ini apabila seramai 29,402 asnaf fakir dan miskin akan menebus keperluan masing-masing menerusi sistem tuntutan di kedai-kedai terpilih di seluruh negeri.
Pendekatan baharu itu membabitkan peruntukan lebih RM15 juta dan dilaksanakan bagi memastikan agihan lebih bersasar, telus serta memberi pilihan lebih fleksibel kepada penerima.
Yang Dipertua Maidam, Datuk Zulkifli Ali berkata, pendekatan berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya apabila bantuan tidak lagi disalurkan secara tunai, sebaliknya ditebus dalam bentuk barangan dan perkhidmatan yang diperlukan.
“Penerima zakat boleh membuat tuntutan melibatkan barangan keperluan harian, pakaian serta bayaran utiliti termasuk bil telefon dan pembelian tambah nilai menerusi outlet runcit, pasar raya besar serta platform pembelian dalam talian yang mengambil bahagian.
“Tuntutan boleh dibuat bermula 19 Februari hingga 31 Mac 2026,” katanya di sini.
Zulkifli berkata, bantuan tersebut dibahagi kepada tiga kategori iaitu isi rumah tunggal menerima RM300, isi rumah dua atau tiga orang (RM500) dan isi rumah empat orang ke atas (RM700).
Katanya, seramai 7,877 orang menerima bantuan RM300 membabitkan peruntukan lebih RM2.3 juta manakala 8,228 penerima bagi kategori RM500 melibatkan lebih RM4.1 juta.
“Sementara itu, bagi kategori isi rumah empat orang ke atas yang menerima RM700 pula melibatkan 13,297 penerima dengan jumlah peruntukan melebihi RM9.3 juta,” katanya. –UTUSAN










