PETALING JAYA: Bukan sahaja menampilkan vokal yang mantap, malah vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza, memukau penonton dengan aksi ngeri ketika Konsert Drama 15 Tahun di JioSpace, semalam.
Aepul atau Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 37, dilihat beberapa kali melakukan aksi melompat dan berpusing seakan akrobatik di atas pentas ketika menghiburkan penonton dalam segmen bersama penyanyi undangan, Sharul Kamal.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku sepanjang persembahan tersebut. Sharul Kamal sempat terjatuh selepas berlaga badan dengan barisan penari, namun berjaya bangkit dan meneruskan nyanyian dengan profesional.
Sementara itu, konsert berkenaan turut menghimpunkan barisan penyanyi undangan terkenal termasuk Datuk Nash, yang juga merupakan idola kepada Aepul.
“Terima kasih kerana sudi hadir. Datuk Nash adalah idola saya dan menjadi sumber inspirasi yang mendorong saya bekerja keras sehingga ke hari ini,” kata Aepul selepas slot duet mereka menyampaikan lagu Kamelia.
Selain Nash, antara artis lain yang memeriahkan konsert tersebut ialah Leez Rosli (Akademi Fantasia musim keempat), Aweera, Fiq dan Joey Daud.
Sepanjang hampir tiga jam persembahan, Drama Band mendendangkan sebanyak 28 buah lagu, termasuk lagu-lagu hit serta saduran popular yang pernah melonjakkan nama kumpulan itu.
Konsert Drama 15 Tahun diadakan sebagai tanda penghargaan Drama Band kepada peminat setia mereka, GengDrama, atas sokongan berterusan sepanjang 15 tahun perjalanan seni kumpulan berkenaan. – UTUSAN










