Dunia seni hiburan sering dilihat sebagai medan glamor yang sarat dengan kemewahan dan kesenangan. Namun di sebaliknya, wujud sisi gelap yang jarang dibicarakan, termasuk ancaman penipuan atau scam yang kian berleluasa, khususnya terhadap golongan selebriti.
Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan, antara figura muda yang berani membuka cerita mengenai pengalamannya hampir menjadi mangsa penipuan. Berbekalkan sikap pemurah dan keinginan membantu, Afieq mengakui golongan artis sering menjadi sasaran mudah pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan atas persepsi ‘artis itu kaya’.
Khabarnya, Afieq pernah hampir menjadi mangsa scammer. Boleh Afieq ceritakan bagaimana perkara itu berlaku?
Ya, memang betul. Saya pernah didatangi individu yang pada awalnya nampak sangat meyakinkan. Cara dia bercakap, cerita yang dibawa, semuanya nampak logik. Masa itu, saya memang tidak tahu dia scammer. Mujur ada orang lain yang kenal latar belakang individu tersebut dan beritahu saya bahawa dia pernah menipu orang lain, termasuk ahli keluarga sendiri. Dari situ saya terus sedar dan tarik diri.
Mengapa Afieq rasa golongan artis mudah menjadi sasaran scammer?
Sebab ramai orang ada tanggapan artis ini kaya dan hidup senang. Mereka fikir artis ada duit lebih, senang hulur bantuan atau pinjamkan wang. Hakikatnya, tidak semua artis hidup mewah. Ada masanya kami juga berkira dengan duit, sama seperti orang lain. Tapi persepsi itu yang membuatkan kami jadi sasaran mudah.
Adakah pengalaman itu membuatkan Afieq trauma atau lebih berhati-hati selepas ini?
Sudah tentu saya jadi lebih berhati-hati. Dulu saya mungkin terlalu percaya dan terlalu ikhlas. Sekarang saya tetap hendak tolong orang, tapi saya akan buat semakan dulu. Kalau melibatkan derma atau bantuan, saya akan pergi tengok sendiri tempat itu. Saya takut kalau niat baik kita disalahgunakan.
Afieq dikenali sebagai seorang yang pemurah. Pernah rasa kebaikan itu disalahgunakan?
Banyak kali. Pernah orang pinjam duit, beribu-ribu ringgit, tapi tidak dibayar balik. Ada yang buat-buat lupa walaupun jumpa hari-hari. Tapi saya jenis yang percaya, satu hari nanti Tuhan akan ganti balik. Alhamdulillah, memang ada rezeki lain yang datang selepas itu. Mungkin orang fikir artis kaya, mereka rasa kerugian itu kecil. Tapi bagi kami, duit itu hasil kerja, bukan datang bergolek. Tambahan pula, artis tidak ada gaji tetap. Ada masa kerja banyak, ada masa langsung tidak ada. Jadi, bila duit keluar tanpa kembali, ia tetap beri kesan.
Afieq ada menyebut kos hidup sebagai artis sebenarnya tinggi. Boleh jelaskan?
Ya, orang nampak kami menyanyi dan buat persembahan saja. Tapi di sebalik itu, ada kos penjagaan kesihatan, penampilan, rawatan, jurugaya, jurusolek, jurutera bunyi, semuanya bayar sendiri. Bila masuk hospital pun, bukan semua kos ditanggung insurans. Ada penyakit yang tidak boleh ‘claim. Semua itu orang luar tidak nampak.
Adakah pengalaman ini membuatkan Afieq mengecilkan lingkungan persahabatan?
Ya, memang. Sekarang kawan saya boleh kira dengan jari. Dua orang sahaja yang betul-betul rapat, susah senang bersama. Dulu ramai, sekarang masing-masing ada kehidupan sendiri. Saya selesa dengan circle kecil sebab lebih tenang dan kurang drama.Oleh itu, saya nasihatkan semua supaya jangan mudah percaya dengan cerita sedih atau rayuan, walaupun ia datang daripada orang yang nampak baik. Niat untuk menolong itu mulia, tapi kita kena bijak. Tolong sekadar mampu, dan jangan sampai menyusahkan diri sendiri.










