KANGAR: Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah akan mengambil pendekatan melaksanakan program bantuan pada setiap kali musim perayaan.
Beliau difahamkan aktiviti sumbangan tersebut agak ketinggalan sejak beberapa tahun lalu.
Justeru, beliau mengambil pendekatan meneruskan program bantuan berkenaan yang bakal melibatkan masyarakat Melayu, Tionghua, India dan Siam.
Sempena Tahun Baharu Cina kali ini, kerajaan negeri telah mengambil inisiaitif mengagihkan sumbangan wang tunai dan limau kepada 945 penerima yang bakal menyambut perayaan itu.
“Penerima sumbangan berkenaan terdiri daripada golongan warga emas berusia 70 tahun ke atas melibatkan kawasan Pekan Kaki Bukit, Ulu Pauh, Pekan Kangar dan Pekan Kuala Perlis.
“Kerajaan negeri berusaha memberi sumbangan tersebut mengikut kemampuan yang ada bagi meraikan masyarakat Tionghua di Perlis.
“Kita memilih warga emas sebagai penerima sumbangan pada kali ini bagi memberi keutamaan buat golongan tersebut untuk meraikan perayaan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan di Dewan Tokong Eng Aun Keong, Kuala Perlis, di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, sumbangan itu diagihkan menerusi kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua negeri serta diselaraskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan negeri, Marzita Mansor.
Katanya, program seumpama itu akan diteruskan pada tahun hadapan dengan jumlah penerima berkemungkinan ditambah dari 945 penerima kepada 2,000 penerima.-UTUSAN










