KUALA LUMPUR: Sebanyak 89 kecederaan dipercayai kesan tikaman dan luka mempertahankan diri ditemukan pada badan seorang wanita yang dibunuh suaminya dalam kejadian di Sunway SPK Damansara, Kepong di sini kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil bedah siasat dijalankan semalam mendapati terdapat 89 kecederaan pada badan dan leher si isteri manakala 10 lagi kecederaan pada suaminya.
“Mayat mangsa akan dituntut oleh waris semalam untuk proses pengebumian.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada Isnin ini untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026 peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di pusat beli-belah Pavilion di sini hari ini.
Media semalam melaporkan seorang lelaki dipercayai menikam isterinya sebanyak 13 kali sehingga mati sebelum bertindak membunuh diri dalam kejadian di SPK Damansara dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan seorang lelaki berusia 54 tahun dan wanita berusia 52 tahun terbaring berlumuran darah di atas lantai.
Beliau dilaporkan, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu satu kesan tikaman di bahagian leher si suami manakala sebanyak 13 tikaman iaitu 10 di leher, satu di tangan sebelah kiri manakala dua lagi di badan pada wanita terbabit. – UTUSAN










