ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) merekodkan 87 peratus pembayaran zakat fitrah pada tahun lepas yang dilaksanakan secara dalam talian sekali gus menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap inisiatif pendigitalan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata, peratusan tersebut menunjukkan masyarakat Islam negeri ini semakin selesa menggunakan platform digital terutama apabila ia mudah diakses sepanjang waktu.
“Isu yang sering dihadapi, dua minggu pertama bulan puasa tidak ramai yang mahu menunaikan zakat fitrah ini lagi, banyak yang tunggu minggu terakhir terutama malam raya baru hendak bayar.
“Sebab itu sistem dalam talian kita selalu sesak di saat-saat akhir. Bagi yang mudah akses kepada internet memang mereka akan bayar guna platform digital sahaja sebab itu kita rekod 87 peratus pembayaran dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Syarikat Korporat yang turut dihadiri Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang di Kompleks LZNK, di sini hari ini.
Syeikh Zakaria berkata, walaupun kaedah dalam talian menjadi pilihan utama namun pembayaran tunai melalui amil yang dilantik masih diteruskan bagi memberi kemudahan mereka yang kurang akses kepada internet terutama warga emas.
“Walaupun ramai guna digital itu tidak bererti amil tidak diperlukan. Ada beberapa kawasan yang akses internetnya tidak begitu baik, kita sediakan amil. Orang kampung akan cari amil juga.
“Ada juga orang yang lebih selesa membayar secara tunai berbanding dalam talian. Tahun ini sebanyak 2,971 amil dilantik untuk mengutip zakat fitrah di seluruh negeri berbanding tahun lepas 3,200 orang,” katanya. –UTUSAN










