KANGAR: Suasana di Sekolah Rendah Islam 1 (SRI1) di sini meriah dengan keterujaan lebih 800 murid menerbangkan layang-layang sempena Program Pesta Angin Timoq peringkat sekolah berkenaan semalam.
Program julung kali itu turut disertai oleh ibu bapa yang tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti bersempena musim angin timur ketika ini.
Guru Besar SRI1, Saifur Ridzwan Mustafa berkata, program tersebut melibatkan kerjasama ibu bapa dan komuniti setempat sekali gus memberi keseronokan buat murid-murid.
“Sebelum ini, pihak sekolah pernah menganjurkan program seperti pesta wau namun tahun ini, kita tampilkan sedikit kelainan dengan julung kalinya menganjurkan Program Pesta Angin Timur peringkat sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Saifur berkata, selain layang-layang moden, terdapat juga di antara peserta yang menghasilkan sendiri wau tradisional seperti Wau Jala Budi.
Katanya, layang-layang atau wau perlu sentiasa diketengahkan bagi memberi pendedahan buat kanak-kanak mengenai permainan tradisional di negara ini.
“Kebanyakan murid sekolah ini juga tinggal di kawasan taman dan tiada lokasi sesuai untuk bermain wau. Jadi kita ambil kesempatan musim angin timur ini untuk laksanakan program ini yang dalam masa sama dapat mengeratkan hubungan sekolah bersama ibu bapa.
“Sebelum hari penganjuran, kita juga mengambil tempahan bagi membeli layang-layang buat murid-murid dengan harga berpatutan secara dalam talian untuk digunakan mereka,” katanya.
Saifur berkata, selain permainan wau, terdapat beberapa acara lain turut dianjurkan seperti permainan belon air dan sukaneka ringkas selain penampilan istimewa karakter animasi terkemuka Papazola bagi menceriakan suasana.
Katanya, idea penganjuran program itu adalah hasil cetusan guru-guru sekolah tersebut yang sememangnya kreatif dalam mencipta kelainan buat murid-murid. – UTUSAN











