6,000 tentera berkawal 24 jam di laluan tikus - Utusan Malaysia

6,000 tentera berkawal 24 jam di laluan tikus

MALEK Razak Sulaiman memberikan kata-kata semangat kepada pegawai dan anggota semasa melakukan lawatan kerja ke Pos Tanjung Sepang, Kota Tinggi, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 6,000 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkawal selama 24 jam sehari sepanjang Ramadan dan Syawal di kesemua laluan tikus di sempadan seluruh negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, kawasan-kawasan panas yang diberi tumpuan menerusi Op Merpati termasuklah di Utara dan Selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Katanya, keanggotaan itu melibatkan ketiga-tiga sayap perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Untuk musim perayaan ini seramai 6,000 anggota bertugas 24 jam memantau persekitaran perairan dan kedaulatan sempadan daratan.

“Selain itu, kita turut menggunakan teknologi dron untuk membantu pemerhatian dari udara serta penjejakan mana-mana kawasan yang berpotensi wujudnya pendaratan atau lain-lain,” katanya ketika ditemui semasa melawat Pos Tanjung Sepang di sini, hari ini.

Malek berkata, ATM bekerjasama dengan beberapa lagi agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini adalah tanggungjawab utama yang kita kena dukung walau apapun yang berlaku. Negara kita aman sekarang, tenangnya kita menyambut Ramadan dan sedikit lagi Aidilfitri adalah disebabkan keberadaan kita (anggota ATM) dalam menjaga keselamatan negara.

“Saya lihat operasi di Pos Tanjung Sepang ini berada dalam keadaan baik dan teratur. Berdasarkan laporan diterima aktiviti kemasyarakatan turut berjalan dengan baik sesama pegawai dan anggota yang ditempatkan di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN