KUALA LUMPUR: Seramai 5,000 peserta daripada pelbagai latar belakang usia, kaum dan negara menyertai Music Night Run 3KM sempena Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026),
Berlangsung meriah di Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur, program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu merupakan inisiatif nasional yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat, hiburan serta pemerkasaan pelancongan berasaskan budaya dan komuniti.
Larian sejauh tiga kilometer itu dilepaskan tepat jam 6 petang, sekali gus menceriakan suasana bandar raya Kuala Lumpur dengan penyertaan masyarakat berbilang kaum, termasuk peserta dari luar negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penganjuran Program Larian Visit Malaysia Year 2026 mencerminkan pendekatan progresif negara dalam membangunkan sektor pelancongan secara holistik dan inklusif.
“Penganjuran Program Larian Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026) merupakan sebuah inisiatif nasional yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat, semangat kebersamaan serta pemerkasaan pelancongan berteraskan budaya dan komuniti,” katanya.
Katanya, program seumpama itu bukan sahaja menggalakkan kesejahteraan fizikal dan mental, malah menjadi wadah penyatuan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan latar belakang, sejajar dengan aspirasi pembinaan negara Malaysia Madani.
Katanya, selaras dengan matlamat VMY2026, program tersebut memperkukuh usaha kementerian dalam mempromosikan pelancongan berasaskan pengalaman, di mana pengunjung bukan sekadar melawat destinasi, tetapi turut berinteraksi dengan komuniti setempat serta menghayati nilai kemasyarakatan dan warisan negara.
Selain larian, program berkenaan turut menampilkan 100 penari kebudayaan, 500 pendikir serta persembahan mewakili 14 budaya, sekali gus menjadikannya medium pendidikan sosial yang menyemai rasa cinta terhadap warisan budaya dan memperkukuh jati diri kebangsaan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak penganjur, rakan strategik, pihak berkuasa tempatan serta para peserta yang menjayakan program berkenaan.
“Semoga inisiatif seperti ini terus diperkasakan sebagai pemangkin kepada kejayaan Visit Malaysia Year 2026, sekali gus menyumbang kepada pembinaan sebuah negara yang bersatu, berbudaya dan sejahtera,” katanya.
Program larian itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.
Program tersebut turut melengkapkan agenda pelancongan hari ini selepas penganjuran KL10K pada sebelah pagi, manakala pada sebelah malam, orang ramai dihiburkan dengan sebuah konsert istimewa yang menampilkan artis popular tanah air seperti Bella Astillah dan Iamneeta.-UTUSAN










