CHERAS: Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baru menyeludup masuk ke negara ini ditahan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di persisiran pantai Sabak, kelmarin.
Kesemua mereka ditahan oleh Pasukan Task Force Delta, Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi ‘Op Taring Delta’ kira-kira pukul 5 pagi.
Komander Briged Tengah PGA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan kapal nelayan laut bersaiz besar bagi memuatkan PATI untuk dibawa masuk melalui laluan laut di sebelah utara negeri Selangor.
Katanya, modus operandi sindiket ini dipercayai menggunakan orang tengah yang berada di Indonesia dan Malaysia.
“Orang tengah di negara ini dipercayai warganegara Indonesia berketurunan Aceh yang sudah lama menetap di sini.
“Mereka juga sanggup membayar sindiket penyeludupan dengan kadar bayaran antara RM1,500 hingga RM3,000 bagi setiap individu untuk satu perjalanan.
“Pembayaran pula tidak dilakukan secara tunai, sebaliknya menggunakan kaedah pemindahan dalam talian (online transfer). Waktu pergerakan penyeludupan ini biasanya dilakukan pada lewat awal pagi antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Op E-Cig Mega di pejabat Briged Tengah PGA di sini hari ini.
Menurutnya, tangkapan membabitkan seramai 19 lelaki, 17 wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
Jelasnya, turut ditahan, dua lelaki warga Indonsia yang beperanan sebagai tekong laut.
“Bermula 1 Januari hingga hari ini, Briged Tengah PGA melancarkan 98 serbuan dan menahan seramai 164 PATI atas pelbagai kesalahan, manakala 11 orang lagi ditangkap di bawah kes Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).
“Nilai keseluruhan rampasan sepanjang tempoh awal tahun ini mencecah RM9 juta,” katanya.
Tegasnya, PGA akan terus menjalankan tugas menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh profesional demi kesejahteraan rakyat Malaysia.- UTUSAN










