KUALA NERUS: Kadar pengisian MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di negeri ini mencecah 94 peratus sejak ia diterima pada 2023 dan 2024.
Sehingga kini, 342 daripada 362 unit Mykiosk telah beroperasi di seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pencapaian itu menunjukkan sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan mikro di negeri ini.
Katanya, pelbagai inisiatif diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kios yang disediakan Kerajaan Persekutuan itu terus mendapat sambutan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
“Antara langkah yang dilaksanakan adalah mengurangkan kadar sewa kios bagi meringankan beban peniaga.Selain itu, PBT membuat penilaian semula dan mengubah sebahagian lokasi asal penempatan kios ke kawasan yang lebih strategik serta menjadi tumpuan orang ramai bagi memastikan peniaga mendapat pulangan lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Wan Sukairi, sebarang kerosakan kemudahan kios ditangani segera supaya ia sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan tanpa menjejaskan operasi peniaga.
Sementara itu, tinjauan di Pantai Teluk Ketapang dekat sini mendapati, lebih 20 MyKiosk ditempatkan di kawasan itu namun kurang daripada 12 kios beroperasi.
Seorang peniaga di Pantai Teluk Ketapang, Rohani Wahab, 50, dari Kampung Gong Sekolah berkata, peluang berniaga di bawah program MyKiosk banyak membantunya. Dia mula menyewa kios berkenaan pada Jun tahun lalu dengan kadar sewa RM108 sebulan.
“Sebelum ini saya hanya berniaga menggunakan meja. Apabila mendapat panggilan kali kedua untuk menyewa kios ini, saya terus bersetuju kerana kemudahannya lebih selesa dan tersusun.Saya berniaga dari pukul 9 pagi hingga 6.30 petang dengan menjual air dan buah nenas jenis MD2,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan kios yang agak jauh dari jalan menyebabkan pelanggan tidak nampak barangan jualan. – UTUSAN










