KUALA TERENGGANU: Sebanyak 23 kawasan hotspot kemalangan dan kesesakan dikenal pasti di seluruh Terengganu sempena pelaksanaan Op Selamat 25/2026 yang berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini, dengan kira-kira 350,000 kenderaan dijangka memasuki negeri ini sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.
Operasi yang dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu di Tol Gemuruh hari ini memberi tumpuan kepada aspek keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah dengan tema “Rumah Selamat, Sampai ke Destinasi”.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, pihaknya melakukan persediaan rapi termasuk penugasan anggota di semua laluan utama bagi memastikan aliran trafik terkawal sepanjang tempoh perayaan.
“Fokus utama operasi adalah memastikan orang ramai selamat ketika pulang ke kampung dan kembali semula ke destinasi masing-masing,” Secara keseluruhan, seramai 503 pegawai dan anggota PDRM Terengganu bertugas sepanjang Op Selamat 25/2026 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kediaman yang ditinggalkan berada dalam keadaan terjamin sepanjang musim perayaan ini,” katanya hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merangka pelbagai strategi termasuk penempatan anggota di lokasi tumpuan dan kawasan yang kerap sesak, penubuhan pasukan ‘Jammed Squad’ bagi menangani kesesakan luar jangka serta penugasan ‘point duty’ di kawasan ‘bottleneck’.
Selain itu, kerjasama teknikal turut dijalinkan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan penyelarasan lampu isyarat berjalan lancar di persimpangan utama.
“JSPT tidak akan berkompromi terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya. – UTUSAN










