GEORGE TOWN : Seramai 281,135 penerima program bantuan i-Sejahtera di Pulau Pinang dijangka menerima bayaran masing-masing bagi fasa pertama bermula Sabtu ini menerusi kaedah pemindahan dana secara elektronik (EFT).
Daripada jumlah itu, seramai 211,471 akan menerima bayaran di bawah Program Penghargaan Warga Emas; 42,674 penerima Suri Emas, 16,694 penerima Program Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) dan selebihnya menerima bantuan tersebut di bawah Program Bantuan Ibu Tunggal.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, secara keseluruhannya, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50.93 juta bagi tujuan pembayaran program bantuan berkenaan di bawah fasa pertama itu.
“Program i-Sejahtera ini bukan sekadar program bantuan kewangan. Tetapi, ia juga merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan penting kumpulan ini dalam pembangunan sosial dan ekonomi negeri,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, permohonan yang diterima selepas tarikh 10 Januari lalu akan diproses di bawah fasa kedua dan semua pemohon dinasihatkan agar mendaftar dan mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing melalui laman sesawang rasmi i-Sejahtera bagi memastikan kelancaran proses pembayaran.-UTUSAN










