KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai melepaskan tembakan ke arah kereta dipandu Nasaruddin Nasir, komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam ditahan semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan itu dibuat kurang 24 jam selepas kejadian.
“Proses soal siasat sedang dijalankan,” katanya di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Siti Zailah Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung keselamatan anggota keselamatan sempadan susulan kes tembakan itu.
Dalam kejadian 5.40 pagi semalam, dua lelaki bermotosikal menghampiri Proton X70 dipandu Nasaruddin untuk ke masjid menunaikan solat subuh, sebelum melepaskan beberapa das tembakan.
Nasaruddin dilantik komander AKPS Bukit Kayu Hitam pada Januari 2025.
Polis percaya serangan itu bagi menakutkan pasukan penguat kuasa yang aktif melakukan operasi di sempadan negara.-UTUSAN










