BESUT: Seramai 177 pegawai penguat kuasa dan pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu ditugaskan sepanjang tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina.
Pengarahnya, Mohd. Mufsi Lat berkata, semua pegawai itu ditempatkan di lokasi tumpuan ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya di seluruh negeri.
“Pemeriksaan dan pemantauan ini untuk memastikan pematuhan oleh setiap peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini yang mana mereka perlu mematuhi harga ditetapkan.
“Selain itu, peniaga perlu menggunakan label merah jambu bagi 14 barangan yang diwartakan di bawah Skim SHMMP antaranya ikan bawal putih, sawi pendek, kubis bulat import, cili merah, lobak putih dan lain-lain,” katanya pada program Pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina di Bandar Jertih, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Mufsi, tindakan tegas dikenakan kepada peniaga yang ingkar di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sementara itu, beliau memberi jaminan bekalan minyak masak paket mencukupi sepanjang tempoh perayaan. – UTUSAN










