JOHOR BAHRU: Seramai 1,300 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerah mengawal kebakaran hutan dan tanah gambut seluas kira-kira 161.16 hektar sejak Rabu lalu di seluruh Johor.
Pengarah JBPM Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Siti Rohani Nadir berkata, setakat ini kebakaran melibatkan kawasan di Johor Bahru, Kluang, Muar serta Kota Tinggi.
Beliau berkata, kebakaran terbuka adalah fenomena biasa, namun keadaan cuaca yang panas dan kering serta angin kuat menyebabkan api merebak dengan lebih pantas dan sukar dijangka.
Jelasnya, setakat pukul 6 petang semalam, kebakaran di Johor Bahru telah dipadamkan sepenuhnya manakala Kluang sebanyak 57.14 peratus, Muar (65 peratus) dan Bio Desaru (57.14 peratus).
“Kebakaran terbuka (termasuk kebakaran tanah gambut) adalah antara kejadian yang kerap diterima bomba, namun apabila keadaan cuaca panas dan angin kuat memudahkan api merebak.
“Punca utama kejadian kali ini selain disebabkan cuaca, lapisan tanah gambut juga mudah terbakar termasuk dari bawah tanah (smouldering), bukan hanya di permukaan.
“Sejak 28 Januari lalu, keseluruhan kawasan kebakaran dilaporkan berlaku di negeri ini membabitkan kawasan seluas 161.16 hektar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahad lalu, kebakaran hutan berlaku di Bio Desaru melibatkan kawasan berkeluasan 28.3 hektar.
Pada 30 Januari, kebakaran tanah gambut berlaku membabitkan empat hektar ladang kelapa sawit dan lima hektar ladang nanas di Ladang Peninsular Plantation Sdn. Bhd., Simpang Renggam.
Sebelum ini, insiden sama turut berlaku di Pengerang dan Muar.
Meskipun berdepan pelbagai kesukaran, anggota penyelamat menggunakan pelbagai kaedah antaranya penggunaan khidmat helikopter melalui teknik pengeboman air (water bombing).
Selain itu, teknik fire break iaitu mengepung kawasan kebakaran dan kemudian membanjirkannya turut digunakan.
Siti Rohani berkata, pihaknya tidak berdepan masalah kekurangan anggota, namun cabaran dihadapi adalah melibatkan isu logistik serta sumber bekalan air.
“Selain jentera bomba, pelbagai peralatan turut digunakan termasuk unit dron. Saya menasihatkan orang awam agar mengelakkan diri daripada sebarang aktiviti berkaitan pembakaran terbuka. Peka terhadap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU),” katanya.
Menceritakan situasi di lokasi, Timbalan Pengarah JBPM Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, seorang anggota yang terlibat dalam operasi di Jalan Tuatau, Bandar Penawar mengalami kelecuran di bahagian kaki.
“Anggota terbabit masih muda, baharu berusia 20 tahun dan mengalami kecederaan itu selepas kakinya terjerlus memasuki kawasan tanah ketika operasi memadam kebakaran.
“Syukur alhamdulillah anggota berada dalam keadaan stabil dan telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar. Ini antara cabaran dihadapi mereka memadam kebakaran, kawasan persekitaran juga memberikan cabaran berbeza,” katanya.

Sementara itu, anggota wanita yang terlibat dengan operasi pemadaman di Kluang, Nur Fitrah Syuhada Asmayor, 23, berkata, kebakaran tanah gambut kali ini merupakan pengalaman pertamanya sejak menyertai JBPM pada November 2024.
Katanya, situasi di tanah gambut berbeza berbanding memadam kebakaran di lokasi lain kerana perlu berada di lokasi berjam-jam lamanya.
“Memadam kebakaran tanah gambut tidak sama seperti kebakaran di tempat lain seperti kenderaan atau bangunan. Tempoh masanya lama sehingga berjam-jam dan berhari-hari.
“Sepanjang waktu itu, tumpuan sepenuhnya perlu diberi bagi memastikan api yang telah dipadam tidak marak kembali dan baranya yang berada dalam tanah terpadam sama.
“Setelah selesai baharulah boleh berpindah ke lokasi lain, ditambah lagi kepenatan fizikal,” katanya. – UTUSAN











