12 lokasi 'hotspot' kesesakan trafik dikenal pasti di Negeri Sembilan

12 lokasi ‘hotspot’ kesesakan trafik dikenal pasti di Negeri Sembilan

KETUA Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, hadir Majlis Pelancaran OP Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026, hari ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 12 lokasi kawasan tumpuan kesesakan trafik dikenal pasti menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sebanyak 12 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan kesesakan trafik susulan hampir 800,000 kenderaan dijangka memasuki Negeri Sembilan menjelang cuti ini.

Menurutnya, kesemua lokasi berkenaan melibatkan laluan utama dan persimpangan lampu isyarat yang dijangka mengalami pertambahan kenderaan susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan bercuti sepanjang tempoh perayaan.

“Bagi daerah Seremban, antara hotspot yang dikenal pasti ialah Jalan Rasah,Plaza Tol Port Dickson, lampu isyarat Seremban Gateway , Plaza Tol Labu dan Bulatan Bukit Chedang.

“Bagi kawasan Nilai pula melibatkan Jalan Batang Benar, manakala di Kuala Pilah ialah Jalan Seremban-Kuala Pilah termasuk laluan Bukit Putus, katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Op Selamat 25 Kontinjen Negeri Sembilan di Plaza Tol Senawang, di sini, hari ini.

Tambahnya, di Port Dickson pula, dua lokasi dikenal pasti iaitu lampu isyarat Sua Betong dan Kilometer 8 Jalan Seremban-Lukut.

“Bagi daerah Rembau, laluan Jalan Seremban-Tampin manakala di daerah Jelebu melibatkan lampu isyarat Kuala Klawang. Untuk daerah Tampin melibatkan dua lampu isyarat iaitu di Kampung Baru Jalan Tampin Gemas dan Pekan Gemencheh serta di Kilometer 0.5 Jalan Bahau-Rompin bagi daerah Jempol,” katanya.

Dalam pada itu, Alzafny berkata sebanyak empat lokasi ‘blackspot’yang kerap berlaku kemalangan turut dikenal pasti di tiga daerah iaitu Port Dickson, Kuala Pilah dan Jelebu.

Beliau berkata, seramai 318 pegawai dan anggota trafik akan ditempatkan di lapangan bagi melakukan pemantauan berterusan sepanjang operasi berkenaan.

Tambahnya, semua pegawai dan anggota polis Kontinjen Negeri Sembilan tidak dibenarkan bercuti bagi membantu pasukan Penguatkuasaan Tradik menjalankan tugas menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina ini.

“Bagaimanapun, beberapa orang pegawai dan anggota berbangsa Cina dibenarkan bercuti. Selebihnya akan bertugas seperti biasa walaupun terdapat dua hari cuti umum sempena perayaan ini,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 111 kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang Op Selamat 25 dijalankan bermula semalam yang membabitkan dua kemalangan maut, masing-masing satu kemalangan cedera parah dan ringan manakala 107 melibatkan kemalangan rosak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN