PETALING JAYA: Pelakon, Zara Zya atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, tidak dapat menahan sabar apabila menghadapi komen berunsur lucah di media sosial miliknya.
Dalam hantaran terbaru, Zara menyifatkan tindakan individu terbabit sebagai kurang ajar, kerana secara terbuka mengajaknya melakukan perbuatan tidak senonoh.
“Kadang-kadang penat juga nak membaca komen. Saya perlu menjaga kesihatan mental. Ada yang positif mampu buat saya tersenyum, namun ada juga yang mengutuk wajah, status bujang, dan kesihatan saya.
“Tapi ini antara komen paling kurang ajar yang saya terima setakat pagi ini. Secara terbuka kamu tulis begitu. Kesian pada diri kamu dan keluarga,” tulisnya.
Pelakon drama Love You Mr. Arrogant itu turut memuat naik tangkap layar komen terbabit yang merendahkan martabatnya sebagai seorang wanita.
Di ruangan komen, ramai warganet menyokong tindakan Zara dan berharap ia menjadi ikhtibar kepada orang ramai supaya lebih bijak menggunakan media sosial.
“Tak malukah sudah tua komen begitu? Macam tiada maruah,” kata seorang warganet.
“Buat laporan polis, Zara. Ini sudah masuk gangguan seksual,” tulis satu komen.
“Jijik sungguh perangai, malu kalau dapat ayah seperti ini,” tulis seorang lagi peminat. -UTUSAN










