Semua pihak harus berhenti hidup dalam dunia ilusi iaitu sekiranya seseorang itu dapat banyak A dalam peperiksaan, maka orang itu pandai dan memiliki masa depan yang sangat cerah.
Dunia kini telah banyak berubah, proses penilaian zaman kuno sebegini tidak seharusnya diguna pakai lagi untuk menilai tahap keupayaan seseorang pelajar untuk berjaya dalam dunia masa kini.
Daripada memberi fokus untuk membawa kembali peperiksaan yang sudah lama dimansuhkan, fokus harus diambil untuk memansuhkan semua jenis peperiksaan yang masih wujud dalam sistem pendidikan.
Sesuai dengan zaman ini, semua jenis peperiksaan yang ada perlu dimansuhkan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan lain-lain lagi sama seperti pemansuhan yang telah dilakukan terhadap peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak beberapa lama dulu dan digantikannya dengan proses penilaian melalui kaedah yang lain yang lebih sesuai dan berkesan untuk pelajar.
Untuk rekod, pada Jun 2021, Kementerian Pendidikan mengumumkan pemansuhan UPSR.
Selaras pemansuhan UPSR berkenaan, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilaksanakan untuk mengukur pencapaian murid-murid yang terlibat.
Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) digunakan untuk murid-murid terlibat untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh untuk Tingkatan satu dan empat.
Pada awal Jun 2022 pula, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah dimansuhkan.
Pemansuhan peperiksaan utama dalam sistem pendidikan negara kita ini dilihat dapat membebaskan sistem pendidikan negara kita serta pelajar daripada sistem yang berorientasikan atau berasaskan peperiksaan.
Kita tidak boleh lagi melaksanakan proses penilaian yang berorientasikan atau berasaskan sistem peperiksaan semata-mata bagi menilai tahap prestasi pelajar kita.
Kita juga tidak boleh memberi tekanan untuk pelajar mendapat markah yang tinggi atau A dalam peperiksaan pada setiap masa.
Oleh yang demikian, kita perlu mengambil langkah yang berani dan drastik bagi memansuhkan sepenuhnya semua jenis peperiksaan yang ada seperti SPM, STPM dan UEC.
Pihak-pihak yang berkaitan seperti Kementerian Pendidikan boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan tersebut dengan lebih terperinci.
Jawatankuasa khas ini perlu dianggotai oleh golongan pakar dalam sistem pendidikan, guru, serta anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Kita juga boleh mengadakan proses pengutan suara dari kalangan pelajar sekolah sendiri terhadap cadangan yang dikemukakan ini.
Apa – apa keputusan yang hendak diambil kelak hendaklah mengambil kira suara pelajar kita kerana mereka yang akan menerima kesan daripa da sebarang tindakan yang hendak diambil.-UTUSAN










