KUALA LUMPUR: Susulan pendedahan seorang pelakon remaja yang hampir menjadi mangsa pelakuan amang seksual individu tidak bertanggungjawab, giliran penyanyi Zaki Yamani, 19, pula tampil berkongsi pengalaman hampir sama.
Pemilik nama penuh Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah itu mendedahkan gangguan seksual seorang pekerja produksi yang cuba mengambil kesempatan ketika mereka berdua-duaan dalam sebuah bilik.
“Dia panggil saya masuk (bilik), saya ingat pasal apa. Tiba-tiba kelakuannya bertukar aneh.
“Dia sentuh saya, meletakkan tangannya atas riba saya sambil memuji wajah saya ‘jambu’. Keadaan itu membuatkan saya rasa tidak selesa.
“Saat itu saya sedar yang individu ini bukan nak bagi saya kerja, tetapi sebenarnya dia niat yang tak baik.
“Saya terus bangun, keluar bilik tersebut dan segera memaklumkan perkara itu kepada ibu saya yang ada tempat saya pada waktu itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, pelakon Alqal Sahar mendedahkan pernah menjadi mangsa amang seksual seorang pengarah.
Menurut Zaki, insiden seumpama itu membuatkan dia berhati-hati, sentiasa ditemani ibunya, Fatimatuzahra Samat, 42 ketika berurusan dengan individu asing.
“Sekarang ini, kalau ada individu yang panggil ke bilik, saya akan bawa ibu saya sebab saya rasa lebih selamat kalau dia ada bersama,” katanya lagi.
Zaki dalam masa yang sama turut mendedahkan pernah diganggu seorang wanita berusia yang menawarkan puluhan ribu ringgit untuk memuaskan nafsunya.
“Saya ada dapat DM (mesej langsung) dalam TikTok, seorang perempuan lebih berusia menawarkan bayaran lumayan.
“Saya membalas mesejnya kerana saya sangkakan dia mahu tawarkan saya kerja. Rupa-rupanya dia mahu membuat panggilan video dengan niat yang tak baik. Saya terus sekat perempuan itu.
“Saya tak maklumkan perkara ini kepada ibu saya sebab saya sudah dewasa dan mampu membezakan baik buruk. Jadi, benda-benda begini kita kena tepis terus,” jelasnya.
Zaki bagaimanapun tidak menceritakan kejadian itu kepada bapanya yang juga penyanyi, Jamal Abdillah.
“Tak, saya tidak pernah berkongsi cerita dengan dia, dulu masa mula-mula menyanyi pun saya tak beritahu dia.
“Saya berlakon pun dia tak tahu, mungkin ada orang bagitahu dia tapi saya memang tidak kongsikan sampai sekarang.
“Cuma kalau dia tanya baru saya beritahu dia,” tuturnya ketika sidang media drama TikTok berjudul FYP Macam VIP.
Dalam perkembangan lain, Zaki buat pertama kalinya masuk ke bidang lakonan menerusi pembabitan sulung dalam drama berkenaan yang merupakan kerjasama antara McDonald’s Malaysia dan Media Prima. – UTUSAN










