KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dijadualkan berlangsung petang ini, berkemungkinan bagi membincangkan isu-isu berbangkit termasuk soal kedudukan Muhamad Akmal dalam parti.
Ahmad Zahid tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai perjumpaan itu atau mengulas mengenai kemungkinan Muhamad Akmal akan menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya.
“Dia akan jumpa saya petang ini. Saya tidak tahu apa keputusan dia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Muhamad Akmal tidak terheret dengan sebarang tekanan mana-mana pihak dalam menentukan hala tuju politiknya.
Muhamad Akmal berkata, sebarang langkah berkaitan kedudukannya tidak akan dibuat secara tergesa-gesa tanpa persetujuan dan rundingan bersama Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Persoalan sama ada beliau akan melepaskan jawatannya atau tidak dijangka hanya akan terjawab pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang bermula esok.
Platform tertinggi parti itu bakal digunakan untuk menjelaskan pendirian rasmi berhubung kedudukannya termasuk khabar angin isu peletakan semua jawatan disandangnya.-UTUSAN










