PETALING JAYA: Ariff Bahran, 27, tidak teragak-agak untuk mendedahkan identiti seorang penganjur yang kekal membisu berhubung wang berjumlah ratusan ribu yang dipinjamnya daripada penyanyi berkenaan.
Kata Ariff, dia berkemungkinan bertindak sedemikian untuk mendesak individu berkenaan memulangkan semula wangnya.
“Tidak berharap pada janji sembang. Duit aku, tetap duit aku. Wajib bayar sebelum aku dedahkan muka dia,” tulisnya dalam Threads.
Terdahulu, Ariff mendedahkan tindakan penganjur berkenaan yang melarikan sejumlah RM425,000 selepas gagal menerbangkan band Indonesia, Sheila On 7 ke Malaysia untuk mengadakan konsert.
Menurut Ariff, pelaku, selepas kes itu didedahkan kepada umum, telah menghubunginya untuk memaklumkan kesediaan untuk dalam kadar segera memulangkan wang berkenaan.
Individu tersebut bagaimanapun memberi janji kosong dan menghilang sampai sekarang.
“Bayarlah hutang, 2026 sudah ini. RM425,000 aku masih di awang-awangan,” desak Ariff.
Dalam perkongsian sama, penyanyi lagu Juara Dusta itu, ketika menjawab pertanyaan netizen, mendedahkan jantina pelaku.
“Ya, penipu adalah seorang wanita,” tulisnya. – UTUSAN










