PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan kes kehilangan pelakon wanita, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, atau Nadia Kesuma telah meninggal dunia.
Perkara itu disahkan berdasarkan hasil usaha Konsulat Jeneral dalam mengesan keberadaan beliau melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan serta semakan rekod berkaitan.
Menurut kenyataan Wisma Putra, pihak keluarga telah pun dimaklumkan mengenai berita duka ini.
“Kementerian ini menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah.
“Pada masa sama, Kementerian ini turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam mengendalikan urusan ini,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, bagi memastikan segala urusan berjalan lancar, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sedang giat memberikan bantuan konsular sepenuhnya kepada pihak keluarga.
Jelasnya, wakil-wakil daripada kedua-dua Perwakilan Diplomatik Malaysia tersebut akan berada di lapangan bagi memantau perkembangan secara dekat serta memudah cara proses-proses selanjutnya.
“Kementerian Luar Negeri ingin menegaskan bahawa keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.
“Walau bagaimanapun, memandangkan kes ini melibatkan privasi pihak keluarga, Kementerian ini tidak akan mengulas lanjut mengenai butiran peribadi individu terlibat bagi menghormati sensitiviti semua pihak,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Nadia Kesuma menyertai kumpulan umrah dan ziarah sebuah agensi pelancongan terdiri daripada 21 peserta bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.
Bagaimanapun, pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah. – UTUSAN










