KUALA LUMPUR: Kumpulan rock, Wings, secara rasmi memperkenalkan dua anggota baharu bagi mengukuhkan semula empayar muzik mereka.
Dua anggota baharu itu ialah Pae atau Rodzane Mohamed yang mengisi posisi pemain dram, manakala Ilham Ishak bertanggungjawab sebagai pemain basist.
Vokalisnya, Datuk Awie berkata, kehadiran ahli baharu ini merupakan misi penting bagi memastikan kelangsungan Wings yang disifatkan sebagai sebuah jenama yang terlalu kukuh untuk dibiarkan rapuh.
“Dengan adanya ahli baru, kita mahu meneruskan perjuangan Wings yang sudah mencecah usia 40 tahun. Wings adalah sebuah band yang teguh dalam industri, jadi sangat rugi kalau kita biarkan ‘sayap’ itu patah.
“Kami bersyukur kerana mendapat ahli yang bukan sahaja berpengalaman, malah cukup dikenali dalam kalangan penggiat seni,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert Wings Orang Kita, di sini, pada Jumaat.
Mengulas mengenai hala tuju kumpulan itu, Awie mendedahkan Wings kini dalam fasa membentuk ‘gelombang baharu’ dan bakal memasuki studio untuk rakaman album terbaharu pada Ramadan akan datang.
Demi memantapkan struktur muzik mereka, Wings bersepakat melantik gitaris, Edrie Hashim sebagai pengarah muzik yang bakal menentukan selera muzik untuk album dan konsert akan datang.
“Kami bersetuju melantik ketua yang akan menjaga aspek muzik dan membuka sesuatu yang baharu, lebih elok dan murni. Ini adalah strategi penting untuk membentuk empayar Wings pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Bercerita mengenai pemilihan dua anggota tersebut, Awie menyifatkan pertemuan mereka sebagai satu takdir.
Pae dipilih secara lantikan terus (handpick) berdasarkan profilnya sebagai pemuzik sesi yang pernah beraksi bersama kumpulan gergasi seperti Search, XPDC dan Amuk.
Sementara itu, Ilham yang sebelum ini aktif sebagai pemuzik kelab malam pula dipilih menerusi proses uji bakat yang teliti.
“Ilham saya buat uji bakat. Sebaik sahaja melihat dia berdiri dan memetik gitar, saya tahu dia layak.
“Dia masih muda, namun mempunyai kebolehan besar dalam permainan bes selain pernah menjadi pemuzik sesi untuk band-band besar,” katanya.
Dalam pada itu, Pae ketika ditemui menyatakan tekadnya untuk memberikan identiti tersendiri buat Wings tanpa dibayangi pemuzik terdahulu.
“Saya takkan jadi Black, saya takkan jadi Jojet. Saya akan jadi Pae. Saya akan bawa karakter sendiri supaya Wings ini tidak terkeluar daripada landasannya,” tegas beliau.
Terdahulu, pada Oktober tahun lalu, peminat dikejutkan dengan pengumuman pengunduran dua anggota asal Wings iaitu pemain dram, Black dan pemain bes, Eddie daripada kumpulan tersebut. -UTUSAN










