HULU TERENGGANU: Selepas berdepan empat episod hujan sepanjang musim tengkujuh ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir gelombang baharu ekoran ramalan kemunculan satu lagi luruan hujan bermula esok.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim berkata, episod hujan lebat selama lima hari sehingga Jumaat ini adalah yang kelima sejak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada November tahun lalu.
“Diikutkan negara diramal menerima enam atau tujuh luruan hujan lebat sepanjang tempoh MTL kali ini dan kita telah menghadapi empat (episod) sebelum ini.
“Semua agensi (penyelamat) telah bersiap siaga menghadapi luruan hujan terbaharu yang dijangka berlaku dari 5 hingga 9 Januari ini,” katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, di sini, hari ini.
Meor Ismail berkata, sehingga kini empat negeri iaitu Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak masih terjejas banjir kesan daripada luruan hujan terdahulu tetapi ia tidak membimbangkan.
Mengenai PPKB SMK Matang, beliau berkata, ia adalah pusat penempatan mangsa banjir kekal pertama yang disiapkan di Terengganu dan ketiga di seluruh negara.
Katanya, PPKB itu dinaik taraf daripada bangunan asrama sedia ada melibat kos hampir RM1 juta dengan dilengkapi pelbagai kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) termasuk tandas, bilik rawatan serta ruang membasuh dan menjemur pakaian.
‘Ia turut dilengkapi stor penyimpanan sebagai pengkalan hadapan barang keperluan mangsa banjir,” katanya. – UTUSAN










