PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas maut dirempuh sebuah kereta ketika berjalan kaki di Jalan Sentul berhampiran Pasar Sentul dekat sini, pagi tadi.
Kejadian sekitar pukul 9.30 pagi itu menyaksikan mangsa berusia 69 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, mangsa dipercayai melintas jalan di kawasan bukan lintasan pejalan kaki sebelum dirempuh kereta.
“Mangsa dipercayai melintas jalan dari bahu kiri ke bahu kanan di lokasi yang bukan lintasan pejalan kaki sebelum dilanggar kenderaan yang bergerak lurus di lorong kedua dari kiri menghala ke pusat bandar.
“Kenderaan yang terlibat belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN










