Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus membuktikan prestij dan keunggulannya sebagai peneraju pendidikan digital negara apabila dipilih sebagai tuan rumah International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2025 yang berlangsung, baru-baru ini.
Penganjuran program berprestij itu menandakan komitmen berterusan UTeM dalam menerajui transformasi e-pembelajaran dan inovasi pendidikan tinggi di peringkat nasional serta antarabangsa.
Program yang diadakan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, itu berjaya menghimpunkan sebanyak 168 penyertaan melibatkan warga akademik, pelajar dan penyelidik daripada universiti awam, swasta dan institusi antarabangsa, termasuk
Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Taylor’s University, Norwegian University of Science and Technology serta Xiangnan University, Chenzhou China.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penganjuran IUCEL 2025 mencerminkan peranan strategik universiti dalam membentuk landskap pendidikan digital masa dihadapan negara.
Ujarnya, UTeM bukan sekadar menjadi penganjur, malah bertindak sebagai pemacu utama inovasi e-pembelajaran negara bilamana IUCEL 2025 menjadi wadah penting untuk menyatukan kepakaran akademik, teknologi dan industri bagi membangunkan ekosistem pembelajaran digital yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi.
“Transformasi pendidikan digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era kecerdasan buatan.
“Melalui integrasi teknologi digital, kepintaran buatan (AI) dan keselamatan siber, UTeM komited melahirkan graduan berfikiran futuristik,
berkemahiran tinggi dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman. –UTUSAN









