USM perkukuh strategi pengantarabangsaan, jadikan Edutourism instrumen strategik

USM perkukuh strategi pengantarabangsaan, jadikan Edutourism instrumen strategik

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) kini sedang memperkukuh strategi pengantarabangsaannya agar selaras dengan hala tuju RPTM 2026-2035.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Universiti Sains Malaysia (USM) kini sedang memperkukuh strategi pengantarabangsaannya melalui pendekatan yang lebih bersepadu, berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman, keterangkuman dan kemampanan selaras dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 hingga 2035.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Ir Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, dalam kerangka ini, konsep Edutourism atau pelancongan berasaskan pendidikan dimanfaatkan sebagai instrumen strategik untuk memperkaya pengalaman akademik pelajar antarabangsa, khususnya dalam program mobiliti dan pengajian jangka pendek.

“Kedudukan USM di Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO turut menyediakan ekosistem pembelajaran yang unik dengan menggabungkan kekuatan akademik, warisan budaya, sejarah serta kepelbagaian komuniti setempat.

“Pendekatan ini membolehkan pembelajaran rentas budaya dilaksanakan secara autentik dan kontekstual melangkaui bilik kuliah sekali gus menyokong pembentukan pemahaman global, pemindahan ilmu dan jaringan akademik antarabangsa yang bermakna,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, bagi memastikan peluasan konsep Edutourism dan mobiliti pelajar antarabangsa dilaksanakan secara tersusun dan mampan, USM melaksanakan inisiatif Mobility Matching Fund (MOMAF) sebagai mekanisme pembiayaan padanan untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan universiti antarabangsa.

“Inisiatif ini menyokong pelaksanaan program mobiliti seperti kursus jangka pendek, lawatan akademik, pertukaran pelajar dan kolaborasi institusi secara lebih sistematik.

“Selain itu, MOMAF juga membuka ruang kepada pelajar tempatan untuk memperoleh pendedahan antarabangsa, meningkatkan kefahaman antara budaya serta membina keupayaan berinteraksi dalam persekitaran global,” katanya yang memberitahu, pendekatan Internationalization@Home turut diintegrasi bagi memastikan manfaat pengantarabangsaan dapat dinikmati.

Secara keseluruhannya, Abdul Rahman berkata, penyelarasan antara Edutourism, MOMAF dan Internationalization@Home membentuk satu ekosistem pengantarabangsaan yang saling melengkapi dan berdaya tahan.

Katanya, pendekatan ini mencerminkan komitmen USM pasca RPTM untuk menyokong aspirasi RPTM 2026 hingga 2035 dalam memposisikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa yang berkualiti, inklusif dan mampan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN