ALOR SETAR: UMNO didakwa tidak mampu hidup tanpa kuasa dan memerlukan jawatan dalam Kabinet, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menjamin kelangsungan politik parti itu.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, hakikat yang semakin sukar disembunyikan adalah jawatan menjadi nadi untuk dana, pengaruh dan platform pemimpin UMNO dalam mendekati rakyat.
Katanya, realiti yang turut perlu diakui dengan jujur adalah UMNO sedang kehilangan arah dan kepimpinan parti itu sendiri masih keliru tentang ke mana UMNO ingin dibawa.
“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 mempersembah kualiti kepimpinan tertinggi yang UMNO miliki hari ini. Dengan tegas mereka nyatakan UMNO tidak pernah bersama DAP, namun dalam masa sama mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang teras utamanya DAP.
“Percanggahan ini terlalu jelas di mata rakyat. Lebih-lebih lagi apabila alasan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan disandarkan sepenuhnya kepada titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
“Dari satu sudut, alasan itu ada benarnya, namun orang Melayu dan rakyat keseluruhannya memahami satu realiti yang lebih pahit iaitu UMNO hari ini tidak mampu hidup tanpa kuasa,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengajak orang Melayu di negara ini bersatu di bawah satu payung besar dengan semua parti politik yang berteraskan kaum itu dan Islam perlu bekerjasama.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, ia bukan untuk menggugat Kerajaan Perpaduan tetapi demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara dengan enyifatkan cadangan itu sebagai kolaborasi agung.
Tambah Haim Hilman, perbezaan ketara antara ucapan Ketua Pemuda UMNO yang mahu menyerang DAP habis-habisan, dengan ucapan Presiden UMNO yang mahu memastikan Kerajaan Perpaduan kekal hingga ke akhir penggal menambah kebingungan.
“Dua nada yang bercanggah ini mencerminkan krisis prinsip yang mendalam. Kepada mereka yang berfikir secara rasional, keadaan ini hanya boleh dirumuskan sebagai politik yang tidak lagi berpaksikan kejujuran.
“Bagaimana UMNO boleh jatuh ke tahap ini, tidakkah UMNO belajar daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di mana kekalahan itu sepatutnya menjadi titik muhasabah paling kritikal dan bukan sekadar episod yang dilupakan oleh UMNO,” ujarnya.
Beliau berkata, jutaan ahli UMNO yang setia pasti berasa pedih melihat parti yang mereka cintai hilang hala tuju yang jelas sehingga menampakkan titik kelemahan terbesar UMNO hari ini. – UTUSAN










